Sesetengah orang mungkin pernah mengalami ruam pada kulit akibat peluh berpanjangan, terutamanya ketika cuaca panas. Peluh menyebabkan kulit menjadi semakin gatal dan ketidakselesaan.
Ruam peluh atau istilah perubatannya miliaria sering terjadi pada bayi dan kanak-kanak kerana liang peluh yang belum terbentuk dengan sempurna. Perkara ini menyebabkan peluh yang keluar berkumpul di bawah kulit lalu membentuk ruam berisi air yang jernih. Ruam peluh juga boleh berlaku pada orang dewasa terutama dalam keadaan cuaca yang panas dan lembap.
Ruam peluh pada bayi dan kanak-kanak biasanya timbul pada bahagian leher, dada dan di celah-celah lipatan siku, ketiak dan kelangkang. Bagi orang dewasa, ruam peluh lebih tertumpu di bahagian kulit yang berlipat dan bahagian yang bergesel dengan pakaian.
Terdapat beberapa tahap keterukan ruam peluh. Ruam peluh yang ringan berupa lepuh-lepuh kecil berisi air jernih (peluh) yang terbentuk di bawah kulit. Ruam tersebut boleh bertukar merah dan berasa sangat gatal. Peringkat ini dikenali sebagai ruam panas (heat rash atau prickly heat). Ruam panas boleh dijangkiti kuman dan menjadi bernanah.
Rawatan bagi Ruam Peluh
Walaupun boleh sembuh sendiri, ruam yang terlalu gatal perlu dirawat untuk mengelakkannya digaru sehingga dijangkiti kuman. Kebiasaannya, losen calamine boleh digunakan untuk mengurangkan kegatalan pada kulit.
Masalah kegatalan kulit yang lebih teruk boleh dirawat dengan krim steroid dan ubat antihistamin. Ubat-ubat ini perlu digunakan untuk melegakan dengan nasihat doktor atau ahli farmasi.
Losen Calamine
Losen calamine boleh digunakan untuk melegakan kegatalan kulit akibat ruam peluh. Calamine ialah sejenis sebatian mineral berwarna merah jambu yang bersifat mengeringkan dan mengurangkan kegatalan.
Apabila disapu pada permukaan kulit, cecair losen akan meruap menyebabkan kulit merasa sejuk, lalu meninggalkan lapisan nipis calamine pada permukaan kulit.
Calamine dalam bentuk krim atau salap adalah kurang sesuai digunakan kerana tekstur berminyak dikhuatiri boleh menyebabkan liang roma tersumbat dan ruam bertambah teruk.
Krim Steroid
Penggunaan krim steroid akan ditentukan oleh doktor berdasarkan tahap keterukan dan kawasan yang terdapat ruam pada badan. Krim steroid harus disapu nipis dan digunakan dalam jangka masa yang ditetapkan sahaja.
Ubat Antihistamin
Ubat antihistamin generasi pertama seperti chlorpheniramine boleh menyebabkan kesan mengantuk selepas diambil. Pengguna dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dan tidak memandu sekiranya mengalami kesan mengantuk tersebut.
Ubat ini juga tidak disarankan untuk digunakan pada kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua tahun kerana berisiko menyebabkan kesukaran bernafas.
Ubat antihistamin generasi kedua seperti loratadine dan cetirizine boleh diambil sebagai alternatif bagi mengelakkan kesan sampingan mengantuk. Walau bagaimanapun, pesakit hendaklah mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil ubat-ubat ini.
Rawatan yang Tidak Sesuai
Bedak talkum sebenarnya tidak sesuai digunakan untuk melegakan ruam peluh kerana boleh menyebabkan liang peluh tersumbat. Bayi juga berisiko tersedut bedak talkum dan boleh menyebabkan masalah pernafasan.
Selain itu, ibu bapa perlu berhati-hati dengan sediaan bedak yang mengandungi menthol dan camphor kerana penggunaan menthol dan camphor pada bayi bawah umur dua tahun boleh menyebabkan sawan dan gangguan pernafasan.
Panduan untuk Pesakit
Langkah-langkah berikut boleh diamalkan untuk mengurangkan risiko mendapat ruam peluh:
1. elakkan terdedah kepada cuaca panas
2. pakai pakaian yang nipis dan longgar atau dibuat daripada fabrik kapas
3. berada di kawasan dengan pengudaraan yang baik
4. pasang kipas atau penyaman udara
Pesakit hendaklah segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami ruam yang disertai dengan demam atau rasa menggigil serta jika terdapat bengkak di ketiak atau celah paha. Perkara ini penting kerana dikhuatiri keadaan tersebut disebabkan oleh jangkitan.
Pesakit juga perlu berjumpa doktor jika ruam tidak hilang selepas beberapa hari walaupun langkah pencegahan telah diambil dan ruam jadi bernanah atau berulang dengan kerap.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Disediakan oleh : Zuhailah Mohd Shafawi Pegawai Farmasi Hospital Shah Alam