Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

6 Jun 2021

Mengikut garis panduan daripada Gold Initiative for Asthma (GINA) dan Gold Initiative for Chronic Lung Diseases (GOLD), ubat dalam bentuk inhaler merupakan antara pilihan rawatan utama bagi pesakit asma atau chronic obstructive pulmonary disease (COPD). Penggunaan inhaler membantu penyampaian ubat terus kepada paru-paru.

 

Ubat yang disedut akan memberi kesan yang lebih cepat berbanding pengambilan ubat ubat biji atau sirap. Inhaler juga kurang berisiko menyebabkan kesan sampingan seperti jantung berdebar-debar, mulut kering dan menggigil.

 

Jenis-jenis Inhaler

 

Inhaler boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti metered dose inhaler (MDI) dan dry powder inhaler (DPI). Contoh-contoh DPI adalah seperti turbohaler, accuhaler dan easyhaler. Setiap jenis inhaler mengandungi bahan aktif yang berbeza.

 

Pemilihan inhaler yang tepat bergantung kepada keperluan pesakit secara individu. Doktor yang merawat perlu mengenal pasti tahap semasa penyakit dan keupayaan pesakit menggunakan inhaler dengan teknik yang sepatutnya.

 

Jika dikategorikan dari segi fungsi dan kesan yang dihasilkan, inhaler secara umumnya terbahagi kepada inhaler jenis pelega dan inhaler jenis pencegah.

1. Inhaler pelega

Inhaler jenis ini biasanya mengandungi ubat jenis bronchodilator, contohnya salbutamol yang membantu mengembangkan saluran pernafasan dalam paru-paru ketika serangan asma berlaku. Inhaler pelega digunakan hanya ketika kecemasan dan perlu dipastikan sentiasa dibawa bersama-sama oleh pesakit. 

 

2. Inhaler pencegah

Inhaler pencegah berfungsi mengurangkan keradangan pada saluran pernafasan. Antara ubat yang terdapat dalam inhaler pencegah termasuklah ubat steroid seperti beclomethasone dan fluticasone, ubat daripada kumpulan muscarinic antagonist seperti indacaterol dan tioptropium serta beta-2 agonist seperti salmeterol dan formoterol.

Selain itu, inhaler juga boleh dikelaskan kepada inhaler yang mengandungi hanya sejenis bahan aktif (single agent) dan inhaler yang mengandungi kombinasi beberapa bahan aktif.

 

Kepentingan Menggunakan Inhaler dengan Teknik yang Betul

 

Teknik sedutan yang betul penting untuk memastikan pesakit mendapat jumlah ubat yang optimum seterusnya membantu mengawal penyakit dengan lebih baik.

 

Sekiranya digunakan dengan teknik yang betul, ubat-ubatan yang terdapat dalam inhaler dapat memasuki saluran pernafasan dan seterusnya ke paru-paru bagi memberikan kesan yang pantas. Kesan yang cepat ini diperlukan terutamanya ketika situasi kecemasan.

 

Penggunaan inhaler jenis pencegah juga memainkan peranan penting untuk mengawal penyakit dalam jangka masa panjang. Penggunaan dengan teknik yang betul di samping patuh pada dos yang diarahkan oleh doktor dapat mengurangkan kekerapan serangan asma.

 

Sesetengah pesakit yang sukar untuk menekan inhaler, menahan nafas atau menyedut ubat pada kadar yang sepatutnya boleh menggunakan alat bantuan, iaitu spacer atau chamber. Alat-alat ini boleh digunakan bersama-sama inhaler jenis MDI sahaja. Pesakit warga emas atau kanak-kanak yang memerlukan alat ini boleh mendapatkannya daripada premis farmasi komuniti.

 

Kesilapan biasa pesakit ketika menggunakan inhaler.

 

Antara kesilapan yang sering dilakukan oleh pesakit yang menggunakan inhaler, termasuklah:

 

1. Pesakit tidak menghembus keluar nafas melalui mulut sebelum menyedut ubat daripada inhaler. Tindakan ini adalah penting bagi menambah daya sedutan dan memastikan kuantiti ubat yang memasuki paru-paru adalah mencukupi.

 

2. Pesakit tidak merapatkan bibir menyebabkan ubat dalam bentuk aerosol yang disedut dapat keluar melalui ruang antara bibir dengan corong mulut inhaler. Perkara ini menyebabkan kuantiti ubat yang disedut menjadi kurang.

 

3. Pesakit menekan inhaler sebanyak dua kali untuk sekali sedutan. Teknik yang sebenarnya ialah pesakit perlu menekan inhaler sekali untuk setiap sedutan. Jika diarahkan mengambil dua kali sedutan, pesakit perlu mengulangi langkah penggunaan inhaler dari awal untuk sedutan yang kedua.  

 

4. Pesakit tidak membersihkan MDI, sekurang-kurangnya sekali seminggu. MDI yang tidak dicuci berisiko untuk tersumbat dengan lebihan aerosol yang keluar. 

 

5. Pesakit tidak berkumur-kumur selepas setiap kali menggunakan inhaler pencegah yang mengandungi ubat jenis kortikosteroid. Langkah berkumur-kumur ini dapat mengurangkan risiko mendapat kesan sampingan jangkitan kulat dalam mulut (oral candidiasis).

 

Pesakit hendaklah menggunakan inhaler mengikut dos yang telah diarahkan oleh doktor agar penyakit dapat dikawal dengan baik. Inhaler pencegah perlu digunakan secara konsisten manakala inhaler pelega hanya digunakan sekiranya perlu. Pesakit disarankan agar mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sekiranya kurang pasti tentang teknik penggunaan inhaler.

 

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

 

Disediakan oleh:                                                                                                                                                      Izyan Abdul Samad                                                                                                                                            Pegawai Farmasi                                                                                                                                                      Klinik Kesihatan Jinjang

 

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman