Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

24 Januari 2021

Dadah Rekreasi: Pengubat Atau Mudarat?

Dadah dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai ‘drug’ yang juga membawa maksud ubat ataupun ‘medicine’. Ubat ialah bahan yang digunakan untuk tujuan perubatan sama ada untuk merawat, mencegah atau mengawal sesuatu penyakit.

Dadah rekreasi pula adalah dadah yang diambil secara tidak sah bagi tujuan keseronokan atau hiburan dan bukan untuk tujuan perubatan.

Jenis-jenis dadah rekreasi yang sering digunakan adalah:

  • Opioid – morphine dan codeine.
  • Opioid sintetik – dihydrocodeine, cocaine, heroin dan ganja.
  • Methamphetamine (kristal) – syabu dan ice.
  • Methamphetamine (pil) – pil kuda.
  • Methyl​enedioxy​methamphetamine (MDMA) – ekstasi.
  • Pil psikotropik (ubat penenang) – barbiturates dan benzodiazepine.
  • Lysergic acid diethylamide (LSD).

Statistik 2018 menunjukkan golongan tertinggi yang terlibat dengan penggunaan dadah rekreasi adalah belia yang berumur 19-39 tahun, lelaki dan berbangsa Melayu. Data oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan pengaruh kawan adalah faktor tertinggi yang menyumbang kepada penyalahgunaan dadah. Ia turut diikuti dengan perasaan ingin tahu, inginkan keseronokan, tekanan perasaan, faktor pekerjaan, hiburan, kurang didikan agama dan masalah kewangan.

 

Komplikasi

Kesan dadah adalah berbeza untuk setiap individu dan ia bergantung kepada:

  • Jenis dadah yang diambil.
  • Jumlah dadah yang digunakan.
  • Cara dan kekerapan penggunaan.
  • Masalah atau risiko kesihatan sedia ada.

Penggunaan dadah rekreasi secara tidak terkawal boleh menyebabkan perubahan struktur dan fungsi otak secara kekal serta menyebabkan kebergantungan atau ketagihan. Di samping mengakibatkan perasaan gembira yang melampau (euphoria), rasa seronok dan khayal, hilang kawalan diri, perubahan sikap menjadi agresif dan liar, percubaan untuk berhenti daripada mengambil dadah akan menjadi sangat sukar berikutan kesan kebergantungan atau ketagihan dadah tersebut.  

Penagih akan cenderung untuk mengabaikan tanggungjawab terhadap pekerjaan, keluarga serta masyarakat sekeliling. Kebanyakan penagih juga mudah terjerumus dalam kes-kes jenayah, pergaduhan dan hubungan seks tanpa perlindungan. Malah, penagih turut terdedah kepada risiko jangkitan HIV/AIDS dan hepatitis akibat perkongsian jarum suntikan, serta boleh mengalami kecelaruan psikotik, komplikasi dan kematian disebabkan pengambilan dos yang berlebihan.

 

Ketagihan boleh dirawat

Masyarakat perlu tahu bahawa penagihan adalah sejenis penyakit kompleks yang boleh dirawat. Pendekatan rawatan dan pemulihan ini adalah berbeza mengikut individu.

Penggunaan ubat-ubatan menjadi elemen penting dalam rawatan penagihan, khususnya apabila digabungkan dengan kaunseling dan terapi tingkah laku. Ubat-ubatan seperti methadone, buprenorphine dan naltrexone dapat membantu mengurangkan masalah ketagihan.

 

Langkah Pencegahan

Bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah rekreasi daripada terus menular, usaha pencegahan perlu dimulakan sejak peringkat awal. Penglibatan institusi keluarga dan masyarakat dalam kelompok yang lebih dekat juga sangat penting bagi membantu usaha kerajaan dalam membasmi gejala penagihan dadah. Masyarakat juga boleh membantu dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dan masalah dadah setempat kepada pihak berkuasa.

Untuk membendung penggunaan dadah rekreasi yang diharamkan oleh undang-undang, pelbagai tindakan tegas turut dilaksanakan. Dadah rekreasi seperti ganja, amphetamine, MDMA, LSD dan heroin telah diwartakan sebagai dadah berbahaya.

Pemeriksaan, risikan, serbuan dan pendakwaan aktif dijalankan oleh pihak berkuasa terhadap mereka yang menyalahi undang-undang berkait dengan dadah berbahaya.

Selain itu, dadah rekreasi seperti bahan psikotropik atau ubat penenang, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan turut dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia. Tindakan pemantauan dan penguatkuasaan adalah perlu untuk mengelakkan penularan penggunaan bahan tersebut sebagai dadah rekreasi.

Hukuman bagi kesalahan-kesalahan melibatkan dadah berbahaya merupakan hukuman yang berat seperti penjara, sebat malah boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati.

Bagi mereka yang mengalami masalah ketagihan, KKM menawarkan rawatan pemulihan seperti program Rawatan Terapi Gantian Methadone bagi mereka yang mengalami masalah ketagihan dadah seperti heroin dan morphine.

 

Pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (dari Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum), sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan.

 

Disediakan oleh:   

Nurul Shuhada Binti Hamidon 

Pegawai Farmasi

Hospital Tangkak, Johor

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman