Penyakit Salur Darah Pulmonari

Penyakit

Title: Penyakit Salur Darah Pulmonari
Date: 
29 Mar 2017

Pengenalan

Penyakit salur darah pulmonari (Pulmonary Vascular Disease) merupakan satu kumpulan penyakit yang melibatkan gangguan kepada peredaran darah di dalam paru-paru.

Penyebab-Penyebab

1. Salur Darah Paru-paru Tersumbat ( Pulmonary Embolism)
Salur darah paru-paru tersumbat berlaku apabila tiba-tiba aliran darah melalui arteri paru-paru tersekat. Ini adalah disebabkan oleh gumpalan darah beku kecil yang mengembara dari tempat lain ke salur darah paru-paru biasanya daripada salur darah  kaki. Gumpalan darah beku yang terbentuk dalam salur darah vena kaki terpisah, kemudian bergerak melalui jantung lalu terlekat di dalam salur darah paru-paru (thromboembolism). Jika salur darah paru-paru besar yang tersumbat, ia boleh menyebabkan kematian mengejut. Penyebab selain daripada gumpalan darah beku yang boleh menyebabkan tersumbat saluran darah paru-paru ialah gumpalan lemak daripada tulang panjang patah, cecair amnion semasa atau selepas bersalin dan juga gelembung udara yang besar tetapi ini jarang berlaku.

2. Hipertensi Pulmonari ( Pulmonary Hypertension)
Hipertensi pulmonari adalah penyakit di mana arteri paru-paru seseorang itu mempunyai tekanan darah yang tinggi. Ia memberi kesan kepada arteri dalam paru-paru dan bahagian kanan jantung. Hipertensi pulmonari bermula apabila salur darah arteri dan kapilari paru menjadi kecil, tersekat atau musnah. Ini menjadikan darah sukar mengalir melalui paru-paru, lalu meningkatkan tekanan dalam arteri paru-paru. Apabila tekanan semakin meningkat, ruang bawah kanan jantung (ventrikel kanan) terpaksa bekerja keras untuk mengepam darah melalui paru-paru menyebabkan otot jantung menjadi lemah dan akhirnya gagal. Ini boleh menyebabkan kegagalan paru-paru kanan yang dipanggil “cor pulmonale”. Hipertensi pulmonari boleh berpunca dari penyakit jantung, paru-paru, penyakit kronik thromboembolik dan lain-lain. Jika punca hipertensi tidak diketahui, ia dipanggil hipertensi pulmonari arteri idiopatik.

3. Paru-paru Basah (Pulmonary Edema)
Paru-paru basah adalah keadaan di mana terdapat kebocoran cecair dari kapilari paru-paru ke dalam alveoli (atau ruang udara). Ia biasanya berpunca dari kegagalan jantung yang menyebabkan peningkatan tekanan darah vena yang merentasi paru-paru. Apabila tekanan dalam saluran darah meningkat, cecair ditolak ke dalam paru-paru menyebabkan sesak nafas.

Selain dari itu, paru-paru basah boleh juga disebabkan oleh kegagalan buah pinggang dan hati yang kronik, senaman pada ketinggian yang sangat tinggi (edema pulmonari altitud tinggi), kerosakan langsung kepada paru-paru (oleh gas beracun atau jangkitan yang teruk), sebagai kesan sampingan ubat-ubatan, atau dari trauma yang teruk. Paru-paru basah juga boleh menjadi komplikasi kepada penyakit jantung yang berpunca dari penyakit yang melemahkan otot jantung atau menyebabkan injap jantung menjadi keras (stiff) atau rosak.

4. Paru-paru Berdarah (Pulmonary Haemorrhage)
Pendarahan pulmonari adalah disebabkan oleh keradangan dan kerosakan kepada kapilari dalam paru-paru menyebabkan darah mengalir ke dalam alveoli. Darah boleh mengalir secara perlahan-lahan dalam jangka masa yang panjang atau ia boleh berlaku secara tiba-tiba dan cepat. Ini sangat merbahaya. Ia juga boleh berlaku kepada sebahagian daripada paru-paru, yang dikenali sebagai pendarahan setempat (focal pulmonary haemorrhage) atau pendarahan boleh berlaku di keseluruhan paru-paru (diffuse pulmonary haemorrhage). Ini akan menyebabkan batuk berdarah.

Punca pendarahan dari sebahagian paru-paru adalah:

  1. Radang paru-paru
  2. Tibi
  3. Kanser paru-paru
  4. Bronkiektasis
  5. Paru-paru bernanah
  6. Jangkitan kulat terutama mycetoma
  7. Trauma kepada paru-paru / paru-paru lebam
  8. Malformasi saluran darah konginetal (pulmonary artero-venous malformation).

 

Punca pendarahan di keseluruhan paru-paru:

Ini biasanya melibatkan pendarahan ke dalam paru-paru daripada saluran darah kecil.

  1. Penyakit autoimmune dan vaskulitik (Wegener Granulomatosis, Goodpasture syndrome, sistemic lupus erythematosis, Henokh-Schonlein Purpura)
  2. Hipertensi pulmonari
  3. Penyakit jantung dengan kesesakan paru-paru
  4. Ubat antikoagulan dan agen thrombolitik
  5. Pulmonari haemosiderosis.

 

Untuk bacaan lanjut, sila klik yang berikut:

Gejala

Komplikasi

Rawatan

Pencegahan