Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

24 Februari 2019

Sejak kebelakangan ini, kosmetik yang berasaskan bahan-bahan semula jadi semakin mendapat perhatian masyarakat kita. Ini mungkin disebabkan oleh teknik pemasaran penjual yang menarik bagi tujuan melariskan penjualan produk-produk kosmetik mereka. Secara umumnya, kosmetik semula jadi merupakan produk kosmetik yang berasaskan sumber seperti tumbuh-tumbuhan yang tidak dicampur dengan bahan kimia atau sintetik. 
 
Kosmetik bukan sahaja meliputi alat solekan wanita, tetapi ia juga merangkumi kategori produk yang lebih luas seperti produk penjagaan kulit, gigi, rambut, produk mandian dan sebagainya. Formulasi suatu produk kosmetik boleh terdiri daripada sama ada bahan-bahan sintetik, bahan-bahan semula jadi sahaja atau campuran bahan sintetik dan bahan semula jadi. 
 
Produk kosmetik di Malaysia perlu bernotifikasi dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum ianya dapat dipasarkan. Kandungan produk kosmetik akan disaring oleh NPRA dan jika didapati mengandungi bahan terlarang, permohonan notifikasi akan ditolak dan ianya tidak boleh dipasarkan. 
 
Isu utama yang sering dibincangkan berkaitan kosmetik semula jadi adalah tuntutan tidak berasas dan mengelirukan pengguna pada poster-poster promosi produk. Antara contohnya adalah seperti: ‘100% semula jadi’, ‘tiada kesan sampingan’, ‘dijamin selamat’ dan sebagainya.  
 
Pengguna mudah terkeliru dengan taktik pemasaran ini kerana produk kosmetik tersebut dianggap semestinya selamat dan bersesuaian dengan mereka kerana ianya adalah ‘semula jadi’. Namun, adakah tuntutan ini benar? Tuntutan 100% semula jadi tidak semestinya bermakna produk tersebut mengandungi 100% daripada bahan semula jadi. Ini kerana dalam kes tertentu, hanya kuantiti kecil bahan semula jadi yang terdapat di dalam sesuatu produk kosmetik.  
 
Selain itu, rata-rata produk kosmetik dalam pasaran tidak melalui proses kajian dan keberkesanan tuntutannya tidak dibuktikan secara saintifik. Bukan sahaja keberkesanan produk meragukan, malah isu kesan sampingan produk tersebut juga tidak dapat dikenal pasti. Sesetengah produk semula jadi juga boleh mendatangkan kesan sampingan atau alahan kepada pengguna khususnya kepada mereka yang berkulit sensitif. Sebagai contoh, minyak pati terutamanya minyak citrus dan eucalyptus mungkin mencetuskan masalah hipersensitiviti pada kulit termasuk gatal-gatal, ruam, kemerah-merahan dan kepedihan kulit dalam sesetengah golongan pengguna.  
 
Selain itu, terdapat sesetengah produk kosmetik semula jadi yang tidak mengandungi bahan pengawet. Justeru, produk tersebut mungkin terdedah kepada risiko kontaminasi bakteria dan kulat, maka pengguna seharusnya lebih berhati-hati dalam pemilihan produk-produk seperti ini. 
 
Pengguna harus lebih bijak semasa memilih produk kosmetik yang bersesuaian sama ada produk semula jadi atau sintetik. Pengguna diingatkan bahawa sebarang produk yang bersesuaian dengan individu lain tidak semestinya bersesuaian dengan diri sendiri. Setiap individu mempunyai jenis kulit dan reaksi yang berlainan terhadap bahan-bahan dalam setiap produk kosmetik.  
 
Pengguna juga harus lebih peka terhadap bahan-bahan yang pernah memberi reaksi atau kesan sampingan. Ini adalah penting bagi mengelakkan kes reaksi yang sama berulang pada masa hadapan.  
 
Para pengguna juga dinasihatkan untuk meluangkan sedikit masa untuk membaca label dan isi kandungan produk kosmetik dengan teliti sebelum membuat pembelian. Selain itu, pengguna digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik melalui laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) https://www.npra.gov.my sebelum membelinya.  
 
Para pengguna dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan testimoni-testimoni dan informasi yang tidak berasas dan kurang tepat tentang suatu produk kosmetik. Lambakan produk boleh didapati secara dalam talian dengan status notifikasi yang meragukan. Pengguna dinasihatkan untuk semak terlebih dahulu sebelum membelinya. Elakkan terkeliru dengan strategi pemasaran pemilik dan penjual barangan kosmetik. 
 
Jika terdapat sebarang reaksi alahan, pengguna dinasihatkan untuk berhenti menggunakan produk yang terbabit dan berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Pengguna perlu diingatkan bahawa tidak semua produk semula jadi itu dijamin selamat dan berkesan; dan tidak semua produk sintetik itu mendatangkan keburukan.  
 
Jika terdapat sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik, pesakit atau orang awam boleh hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) melalui talian 1800-88-6722, Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang.   

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

HUBUNGI KAMI

PROGRAM PERKHIDMATAN FARMASI
LOT 36, JALAN UNIVERSITI, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

PUSAT PANGGILAN FARMASI KEBANGSAAN (NPCC)

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2019 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman