Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

20 Januari 2019

Pernahkah anda melihat pesakit dengan tiub yang dimasukkan ke badan melalui hidung? Apakah fungsi sebenar tiub tersebut? Mengapakah pesakit tersebut memerlukan tiub yang kelihatan tidak selesa itu? 
 
Tiub ini dikenali sebagai tiub nasogastrik. Ia adalah tiub yang dimasukkan ke dalam perut pesakit melalui hidung. Penggunaan tiub nasogastrik ini membolehkan pesakit yang kehilangan upaya untuk menelan makanan secara normal untuk mendapat nutrisi yang diperlukan.  
 
Tiub nasogastrik bertujuan untuk memudahkan pemberian cecair nutrisi, air dan ubat-ubatan kepada pesakit. Sebab lain yang memungkinkan penggunaan tiub tersebut adalah untuk pesakit selepas menjalani pembedahan tertentu, untuk penyedutan (aspirasi) kandungan perut dalam kes keracunan dan sebagainya.  
 
Tiub nasogastrik mempunyai lubang kecil bagi penyaluran nutrisi, air atau ubat. Oleh itu, pesakit atau penjaga perlu mengambil tahu beberapa perkara penting tentang penjagaan tiub nasogastrik bagi memastikan tiub ini digunakan dengan cara yang betul, mengelakkan komplikasi penggunaannya dan mengelakkan tiub ini daripada tersumbat. Tiub yang tersumbat sukar untuk diperbaiki dan diguna semula. 
 
Ubat-ubatan Dalam Bentuk Cecair 
 
Semasa memberi ubat kepada pesakit melalui tiub nasogastrik, terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan bagi memastikan keberkesanan ubat terjamin, mengelakkan kesan mudarat ubat dan mencegah interaksi antara ubat dengan cecair nutrisi. 
 
Penjaga perlu memastikan pesakit sentiasa dalam kedudukan tegak semasa pemberian ubat melalui tiub nasogastrik dilakukan. Ubat-ubatan dalam bentuk cecair adalah lebih sesuai untuk diberikan melalui tiub nasogastrik. Namun, faktor seperti jenis cecair, kepekatan ubat, kandungan sorbitol (sejenis pemanis yang sering digunakan dalam produk farmaseutikal) dan pH cecair merupakan isu yang perlu diambil perhatian.  
 
Sirap biasanya mempunyai kandungan gula yang tinggi dan pH yang kurang sesuai serta boleh menyebabkan tiub nasogastrik tersumbat. Ubat yang mengandungi sorbitol yang tinggi pula boleh menyebabkan kesan sampingan kepada pesakit seperti kembung perut. 
 
Namun begitu, banyak ubat adalah dalam bentuk cecair mengandungi sorbitol. Jika pesakit mengambil lebih daripada satu jenis ubat cecair, maka jumlah kandungan sorbitol yang diambil perlu diambil kira. Ia mungkin menyebabkan kesan sampingan atau ketidakselesaan kepada pesakit lantas menyebabkan kegagalan penggunaan tiub tersebut.  
 
Oleh itu, perbincangan dengan doktor yang merawat dan ahli farmasi yang bertugas boleh mengelakkan berlakunya kesan sampingan yang tidak diingini kepada pesakit dan pada masa yang sama memastikan keberkesanan ubat tidak terganggu.  
 
Ubat-ubatan Dalam Bentuk Pepejal 
 
Terdapat ubat-ubatan yang hanya boleh didapati dalam bentuk pepejal seperti tablet atau kapsul. Kebiasaannya ubat-ubatan ini perlu dihancurkan dan dilarutkan sebelum diberikan kepada pesakit. Walau bagaimanapun, pesakit atau penjaga perlu mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi sebelum berbuat demikian kerana terdapat ubat-ubatan yang tidak boleh dihancurkan. Tindakan menghancurkan ubat-ubatan ini mungkin boleh menyebabkan keberkesanan ubat tersebut terjejas atau meningkatkan risiko kesan sampingan ubat.  
 
Sekiranya terdapat arahan daripada doktor atau ahli farmasi untuk menghancurkan ubat-ubatan biji seperti tablet atau kapsul, penjaga dinasihatkan untuk mengikut arahan khas yang diberikan. Ini adalah penting bagi memastikan kesan terapeutik yang diingini tercapai, seterusnya mengelakkan kesan mudarat ubat. 
 
Pencampuran Ubat  
 
Pencampuran cecair nutrisi dengan ubat-ubatan perlu dielakkan kerana ia berpotensi menjejaskan keberkesanan ubat, mengganggu penyerapan ubat ke dalam darah dan meningkatkan kebarangkalian tiub tersumbat.  
 
Untuk pesakit yang terpaksa mengambil lebih daripada satu jenis ubat, pemberian ubat melalui tiub nasogastrik perlu dilakukan secara berasingan dan setiap kali pemberian ubat perlu diselangkan dengan pemberian air. 
 
Rujuk kepada doktor atau bawa pesakit ke Jabatan Kecemasan segera sekiranya pesakit menunjukkan gejala kesukaran bernafas atau tercekik semasa melakukan pemberian cecair nutrisi atau ubat, pesakit mengalami cirit- birit, loya atau demam, dan tiub nasogastrik tersumbat atau terkeluar daripada kedudukannya.  
 
Pemberian ubat melalui tiub nasogastrik memberikan satu bentuk cabaran kepada pesakit dan penjaga bagi memastikan keberkesanan ubat tercapai, pada masa yang sama, untuk mengelakkan komplikasi daripada penggunaan tiub tersebut. Oleh itu, untuk memastikan objektif itu tercapai, penjaga perlu mendapatkan nasihat dan latihan khas berkaitan pemberian ubat melalui tiub nasogastrik daripada doktor, jururawat dan ahli farmasi yang berpengalaman. 
 
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang). 

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

HUBUNGI KAMI

PROGRAM PERKHIDMATAN FARMASI
LOT 36, JALAN UNIVERSITI, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

PUSAT PANGGILAN FARMASI KEBANGSAAN (NPCC)

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2019 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman