Skip to main content


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

24 March 2019

“Makan ubat dari hospital boleh merosakkan buah pinggang, sebab itu, sekarang saya mengambil jus kesihatan. Kawan saya yang syorkan, katanya selepas amalkan jus ini badan akan berasa lebih segar.” 
 
Situasi di atas adalah situasi biasa yang dihadapi oleh ahli farmasi ketika berdepan dengan sesetengah pesakit kronik semasa proses pendispensan ubat-ubatan. Terdapat beberapa alasan yang menyebabkan pesakit culas dan tidak patuh kepada pengambilan ubat-ubatan. Antaranya termasuklah kurangnya motivasi dan keyakinan terhadap rawatan yang diberikan. Malahan, mereka lebih mempercayai produk makanan atau minuman kesihatan yang tidak mempunyai kajian klinikal dan tidak terbukti keberkesanannya. 
 
Faktor-faktor Menyebabkan Motivasi Pesakit Berkurangan 
 
Penyakit kronik merupakan penyakit yang memerlukan pengambilan ubat secara berterusan untuk tujuan mengawal penyakit. Penyakit kronik yang biasa dihidapi oleh pesakit di negara ini adalah kencing manis (diabetes melitus), tekanan darah tinggi (hipertensi) dan tahap kolesterol tinggi (high blood cholesterol level).  
 
Melalui rawatan dan perubahan gaya hidup, penyakit-penyakit kronik boleh dikawal dengan baik dan risiko komplikasi seperti penyakit serangan jantung dan kegagalan buah pinggang dapat dielakkan. Justeru, motivasi pesakit dalam menjalani rawatan amat penting. 
 
Berikut merupakan faktor-faktor yang boleh menyebabkan pesakit kronik hilang motivasi untuk meneruskan pengambilan ubat:

  • Tempoh rawatan yang terlalu lama dan kurang pengetahuan berkaitan penyakit dan ubat-ubatan
  • Mengalami kesan sampingan ubat  
  • Bilangan ubat yang terlalu banyak untuk ditelan pada setiap kali waktu pengambilan  
  • Pesakit terpedaya dengan lambakan produk makanan tambahan yang menjanjikan kesembuhan  

Literasi Kesihatan Yang Rendah Dalam Kalangan Pesakit 
 
Literasi kesihatan bermaksud keupayaan seseorang untuk memahami dan mengaplikasikan maklumat yang diterima dalam penjagaan kesihatan diri. Tahap literasi kesihatan yang lemah boleh menjadi salah satu halangan terhadap komunikasi dua hala antara pesakit dan pengamal perubatan. 
 
Penyampaian maklumat yang berkesan daripada pengamal perubatan adalah penting bagi memastikan pesakit memahami rawatan yang diberikan, seterusnya menimbulkan rasa keterlibatan dalam proses rawatan untuk penyakit yang mereka alami. Rasa keterlibatan ini penting bagi meningkatkan motivasi dan mendorong pesakit memainkan peranan secara aktif dalam penjagaan kesihatan sendiri. 
 
Pesakit harus memastikan perbincangan bersama-sama pengamal perubatan sudah difahami sebelum meninggalkan bilik konsultasi. Maklumkan kepada doktor ataupun ahli farmasi sekiranya mengalami masalah seperti kesan sampingan daripada pengambilan ubat yang diberikan. Sekiranya ubat yang diberikan oleh doktor sukar untuk dipatuhi akibat jadual harian yang padat, bincang dengan doktor yang merawat supaya ubat-ubatan yang diberikan dapat disesuaikan dengan jadual harian.  
 
Selain itu, kawalan penyakit kronik yang baik dari peringkat awal mampu mengelakkannya daripada menjadi lebih serius. Keadaan penyakit yang tidak terkawal dan komplikasi penyakit yang dialami boleh menyebabkan seseorang pesakit itu perlu mengambil lebih banyak ubat berbanding sebelumnya. Bilangan dan jenis ubat yang banyak boleh menjadi punca seseorang pesakit itu berasa sukar untuk mengambil ubat-ubatan yang telah dipreskripsikan untuk tujuan rawatan. Selain itu, risiko untuk mengalami kesan sampingan juga semakin meningkat dengan pertambahan bilangan dan jenis ubat.  
 
Kepentingan Sokongan Sosial 
 
Seperti yang diketahui, ramai pesakit kronik terdiri daripada golongan warga emas. Golongan ini mengalami kesukaran untuk memahami rawatan ubat-ubatan yang diberikan. Mereka juga berisiko untuk mengambil ubat yang salah disebabkan daya penglihatan yang semakin kurang. Dalam hal ini, sokongan sosial daripada ahli keluarga terdekat memainkan peranan yang penting. 
 
Anak-anak diseru agar meluangkan masa untuk hadir bersama-sama ke sesi janji temu ibu bapa  di klinik, seterusnya prihatin terhadap tahap kesihatan dan ambil tahu berkaitan ubatubatan yang diambil oleh ibu bapa mereka. Sokongan dan dorongan emosi anak-anak memainkan peranan dalam memotivasikan ibu bapa untuk terus memelihara kesihatan mereka.  
 
Usah Terpedaya Janji-janji Palsu 
 
Keadaan menjadi amat mengecewakan apabila ada segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjual produk-produk makanan tambahan kepada pesakit kronik dengan strategi pemasaran yang menjanjikan kesembuhan. Lebih buruk lagi apabila sesetengah daripada mereka menasihatkan pesakit untuk berhenti mengambil ubat-ubatan yang diberikan oleh hospital untuk tujuan rawatan dengan momokan bahawa ubat-ubat tersebut sangat berbahaya.  
 
Pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan dan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum membeli atau memulakan apa-apa produk makanan tambahan atau sebarang rawatan alternatif. Pesakit sepatutnya tidak menghentikan sendiri pengambilan ubat-ubatan yang telah diberikan oleh doktor hanya kerana ingin mencuba produk-produk kesihatan yang lain. 
 
Motivasi dalam kalangan pesakit kronik sangat penting untuk memastikan mereka patuh kepada rawatan yang telah dimulakan. Kepatuhan terhadap pengambilan ubat-ubatan dapat mengelakkan penyakit menjadi lebih serius dan berlakunya komplikasi penyakit. Usaha memberi galakan dan meningkatkan kesedaran kepada pesakit kronik, terutamanya warga emas bukanlah tanggungjawab satu-satu pihak. Tanggungjawab ini perlu digalas bersamasama oleh ahli keluarga, pengamal perubatan dan pesakit itu sendiri. 
 
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang)

 

 

 

JOIN US

QUESTION ON MEDICINES

MEDICINES & HEALTH ISSUES

OUR PROGRAMMES 

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Download Instagram video Instagram Downloader

Disclaimer : Pharmaceutical Services Programme, Ministry of Health Malaysia shall not
be liable for any loss or damage resulting from the use of information in this portal.

Copyright © 2008 - 2019 Know Your Medicine. All Rights Reserved


Administrative Login - Sitemap