Skip to main content


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

25 September 2023

Sistem penjagaan kesihatan di negara ini kelihatan kian berkembang. Salah satu petunjuk kepada perkembangan positif ini ialah penglibatan ahli profesional kesihatan daripada pelbagai disiplin perubatan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan. Kesemua petugas kesihatan memainkan peranan masing-masing dalam satu pasukan demi memastikan mutu rawatan yang terbaik diterima oleh pesakit. Ahli farmasi merupakan salah satu daripada ahli profesional kesihatan yang terlibat dalam rawatan pesakit, di samping petugas lain seperti doktor, jururawat, anggota paramedik, jurupulih fisioterapi, juruteknologi makmal perubatan dan beberapa profesion lain.

 

Siapakah ahli farmasi?

 

Perkataan farmasi atau pharmacy dalam Bahasa Inggeris berasal daripada perkataan dalam Bahasa Greek iaitu pharmacon yang bermaksud ubat. Daripada definisi ini, jelaslah bahawa ahli farmasi pula boleh dirujuk sebagai seorang ahli profesional kesihatan yang mempunyai pengetahuan berkaitan ubat-ubatan. Di Malaysia, untuk diiktiraf sebagai ahli farmasi bertauliah, seseorang itu perlu melanjutkan pelajaran dalam bidang farmasi dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Farmasi, di institusi yang diiktiraf oleh Lembaga Farmasi Malaysia (LFM).

 

Graduan farmasi akan mempelajari pelbagai disiplin dalam bidang farmaseutikal seperti kimia farmaseutik, fisiologi, farmakologi, teknologi farmaseutik dan farmasi klinikal melalui pendidikan asas di peringkat ijazah. Bukan itu sahaja, graduan farmasi juga didedahkan kepada bidang farmasi sosial yang merangkumi kemahiran statistik, komunikasi, farmakoekonomi, farmakoepidemiologi, farmakoinformatik, perundangan serta etika dan polisi farmasi. 

 

Setelah tamat pengajian di universiti, sebelum seseorang ahli farmasi dibenarkan untuk bekerja atau mengamalkan profesion ahli farmasi, mereka perlu lulus peperiksaan perundangan dan berdaftar dengan LFM. Seterusnya, mereka dikehendaki menjalani latihan sebagai Pegawai Farmasi dengan Pendaftaran Bersyarat (Provisionally Registered Pharmacist) di fasiliti yang diiktiraf oleh LFM. Hanya selepas tamat latihan tersebut, seseorang itu hanya akan didaftarkan dan diiktiraf sebagai Ahli Farmasi Berdaftar (Fully Registered Pharmacist).

 

Melalui pengetahuan yang dipelajari di universiti dan pengalaman semasa latihan wajib dapat membantu ahli farmasi dalam menjalankan tugas. Secara umumnya, ahli farmasi berperanan membekalkan ubat-ubatan yang berkualiti kepada pesakit pada kos yang berpatutan. Di samping itu, ahli farmasi juga membantu dalam memastikan rawatan yang diterima pesakit adalah selamat dan berkesan bersama-sama ahli pasukan perubatan yang lain.

 

Di sebalik tabir proses pendispensan ubat kepada pesakit: peranan ahli farmasi

 

Pembekalan ubat kepada pesakit di fasiliti kesihatan meliputi beberapa langkah utama yang dilakukan dengan teliti oleh ahli farmasi bersama-sama petugas farmasi yang lain. Proses pembekalan ubat kepada pesakit bermula dengan penyaringan preskripsi. Semasa menyaring preskripsi yang diterima daripada pesakit, ahli farmasi akan menyemak dan memastikan preskripsi tersebut sah untuk pembekalan ubat. Preskripsi tersebut haruslah lengkap dengan maklumat rawatan seperti tarikh rawatan, diagnosis pesakit, nama, dos dan aturan pengambilan ubat serta nama dan cap rasmi doktor yang merawat. 

 

Ubat-ubat yang ditulis pada preskripsi akan diteliti oleh ahli farmasi supaya rawatan yang diterima pesakit adalah bersesuaian dan selamat. Sebagai contoh, ahli farmasi akan memastikan ubat-ubat yang dipreskripsi tidak mempunyai risiko interaksi atau tidak serasi (incompatible) antara satu sama lain. Ubat-ubat yang diketahui tidak selamat untuk diambil oleh pesakit (contraindication) juga akan dikenal pasti oleh ahli farmasi. Tahap kesihatan semasa atau sejarah perubatan pesakit, fungsi organ utama seperti jantung, buah pinggang dan hati serta status kehamilan atau menyusukan bayi merupakan antara perkara yang dipertimbangkan oleh ahli farmasi dalam menentukan kesesuaian ubat yang dipreskripsi untuk pesakit. 

 

Sekiranya terdapat sebarang ubat yang difikirkan kurang bersesuaian untuk pesakit, ahli farmasi akan mengambil tindakan proaktif dan menghubungi doktor yang merawat untuk berbincang dengan lebih lanjut. Proses ini dipanggil sebagai intervensi rawatan. Tujuan utama intervensi dilakukan adalah untuk mengelakkan pesakit mendapat kesan yang tidak diingini daripada rawatan yang diterima. Ahli farmasi akan mencadangkan ubat-ubat alternatif yang lebih bersesuaian dan selamat diambil oleh pesakit. Peranan ini menuntut ahli farmasi untuk sentiasa dilengkapi dengan informasi ubat-ubatan yang terkini dan bersandarkan rujukan berkredibiliti, di samping kemahiran berkomunikasi dan berunding yang baik.

 

Langkah seterusnya ialah pengisian preskripsi. Tugas ini dilakukan oleh ahli farmasi dan dibantu oleh penolong ahli farmasi. Proses pengisian preskripsi bermaksud petugas akan menyediakan ubat dalam kuantiti yang secukupnya seperti yang ditulis pada preskripsi. Ubat-ubat ini juga akan dilabel dengan lengkap untuk memudahkan pengambilan ubat oleh pesakit. Maklumat penting seperti nama dan kekuatan ubat, dos dan kekerapan yang perlu diambil, nama fasiliti yang membekal serta tarikh pembekalan ubat harus dinyatakan pada label ubat tersebut.

 

Selepas ubat-ubat disediakan, ahli farmasi akan membuat semak silang terlebih dahulu sebelum ubat-ubat tersebut diserahkan kepada ahli farmasi di kaunter pendispensan. Proses semak silang merupakan langkah kritikal untuk memastikan tiada sebarang kesilapan pengisian atau pelabelan ubat yang dilakukan. Apabila selesai disemak silang, ubat-ubat akan didispens kepada pesakit melalui kaunter pendispensan.

 

Pendispensan secara mudahnya merujuk pembekalan ubat kepada pesakit berserta penerangan tentang cara pengambilan ubat. Selain maklumat tentang dos dan kekerapan pengambilan ubat, ahli farmasi juga akan menerangkan beberapa perkara yang perlu diketahui oleh pesakit. Antaranya seperti cara pengambilan yang betul bagi ubat-ubat yang berisiko untuk berinteraksi dan cara penyimpanan ubat di rumah. Bukan itu sahaja, ahli farmasi turut bertanggungjawab menerangkan kemungkinan berlakunya kesan sampingan selepas pengambilan ubat-ubat tertentu dan memberi panduan untuk mengurus kesan sampingan tersebut.

 

Dalam situasi tertentu, pesakit boleh juga memohon kepada ahli farmasi untuk penerangan lanjut tentang ubat-ubatan yang diterima menerusi sesi kaunseling secara individu atau berkumpulan. Semasa sesi ini, ahli farmasi akan  membantu pesakit lebih memahami setiap ubat-ubatan yang dipreskripsi termasuk cara penggunaan alat-alat khas seperti inhaler dan pen insulin, sekiranya ada. Maklumat yang diberikan oleh ahli farmasi, sama ada ketika pendispensan mahupun semasa sesi kaunseling dapat meningkatkan pemahaman pesakit tentang cara pengambilan ubat yang betul dan sekali gus membantu mereka patuh kepada rawatan yang telah dipreskripsikan. 

 

Profesion ahli farmasi semakin berkembang di Malaysia

 

Tugas ahli farmasi tidak lagi terhad di kaunter farmasi fasiliti kesihatan. Ahli farmasi kini terlibat juga dalam cabang perkhidmatan lain, misalnya seperti di farmasi komuniti, industri farmaseutikal, bidang akademik serta dalam bidang pengurusan, penguatkuasaan dan regulatori farmasi. Namun begitu, tanpa mengira peranan yang dimainkan atau sektor perkhidmatan yang diceburi, matlamat utama profesion ahli farmasi adalah untuk bertindak sebagai barisan hadapan dalam penjagaan farmaseutikal. Objektif ini selari dengan tema sambutan Hari Farmasi Sedunia bagi tahun 2023 iaitu “Ahli Farmasi Memperkukuh Sistem Kesihatan”.

 

Peranan yang dilaksanakan ini memerlukan ahli farmasi memiliki kelayakan akademik dan kemahiran berkomunikasi yang baik. Ahli farmasi juga perlu menekankan amalan farmasi yang berpandukan bukti yang kukuh dan berkredibiliti tinggi. Semua ini secara tidak langsung dapat membantu memperkukuh sistem kesihatan negara dan seterusnya mencapai tahap kesihatan masyarakat yang lebih baik.

 

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang profesion ahli farmasi dan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

 

 

 

JOIN US

QUESTION ON MEDICINES

MEDICINES & HEALTH ISSUES

OUR PROGRAMMES 

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Download Instagram video Instagram Downloader

Disclaimer : Pharmaceutical Services Programme, Ministry of Health Malaysia shall not
be liable for any loss or damage resulting from the use of information in this portal.

Copyright © 2008 - 2019 Know Your Medicine. All Rights Reserved


Administrative Login - Sitemap