Skip to main content


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

5 July 2021

World Health Organization (WHO) menganggarkan terdapat lebih daripada satu bilion perokok di seluruh dunia dan penggunaan produk tembakau didapati semakin meningkat. Data National Health and Morbidity Survey (NHMS) pada 2019 menunjukkan bahawa 50% daripada responden kajian melaporkan mereka kerap terdedah kepada asap rokok (second-hand smoke).

 

Statistik ini menunjukkan bahawa merokok bukan sahaja membahayakan individu itu sendiri, bahkan orang lain di sekelilingnya. Perokok tidak seharusnya menunggu lebih lama untuk berhenti daripada melakukan tabiat buruk ini. Usaha ke arah bebas rokok perlu bermula sekarang.

 

Kaedah Berhenti Merokok

 

Antara kaedah yang boleh digunakan untuk membantu seseorang berhenti merokok adalah dengan menggunakan ubat-ubatan di bawah pemantauan doktor atau ahli farmasi yang berkelayakan. Dua kumpulan ubat yang digunakan dalam farmakoterapi berhenti merokok ialah terapi gantian nikotin (nicotine replacement therapy, NRT) dan kumpulan ubat yang tidak berasaskan nikotin (non-NRT) seperti ubat varenicline.

 

Produk Nicotine Replacement Therapy (NRT)

 

Nikotin merupakan bahan aktif utama dalam rokok. Selepas disedut ke dalam paru-paru, nikotin kemudiannya diserap masuk ke dalam darah untuk dibawa ke jantung dan seterusnya ke seluruh tubuh. Nikotin memerlukan sekitar 10 saat sahaja untuk sampai ke otak. Kadar penyerapan nikotin yang cepat dan paras nikotin yang tinggi di otak mudah menyebabkan ketagihan nikotin.

 

NRT efektif untuk mengurangkan gejala pengunduran (withdrawal syndrome) selepas seseorang berhenti merokok. Penggunaan NRT bersama-sama dengan kaunseling dan program sokongan berterusan dapat membantu seseorang bebas daripada rokok. NRT boleh diambil sejurus sahaja perokok berhenti merokok.

 

Terdapat beberapa sediaan produk NRT dalam pasaran. Di Malaysia, tiga sediaan yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia ialah gula-gula getah (gum), tampalan transdermal (transdermal patch) dan lozeng (lozenges). Produk NRT boleh diperoleh di premis farmasi komuniti melalui ahli farmasi. Individu yang ingin menggunakan NRT boleh mendapatkan kaunseling tentang cara khusus menggunakan setiap NRT daripada ahli farmasi yang bertugas.

 

Tablet Varenicline

 

Berbeza daripada NRT, varenicline tidak mengandungi nikotin. Namun begitu, ubat ini juga dapat mengurangkan gejala pengunduran selepas berhenti merokok. Varenicline hanya boleh diambil oleh individu berusia 18 tahun ke atas.

 

Seseorang perokok hendaklah menetapkan tarikh mula berhenti merokok terlebih dahulu kerana varenicline perlu dimulakan seminggu sebelum tarikh ini. Dos permulaan varenicline ialah 0.5 miligram sekali sehari untuk tiga hari dan dinaikkan kepada 0.5 miligram dua kali sehari bagi hari keempat hingga hari ketujuh. Rawatan diteruskan dengan dos 1 miligram dua kali sehari bagi hari seterusnya sehingga lengkap tiga bulan rawatan.

 

Sepanjang tempoh ini, individu yang mengambil varenicline mungkin mengalami kesan sampingan seperti rasa loya, sakit kepala dan kesukaran untuk tidur. Kesan sampingan ini akan hilang selepas beberapa hari. Rasa loya boleh dikurangkan dengan mengambil ubat ini selepas makan.

 

Bahaya Rokok Elektronik

 

Sehingga kini, rokok elektronik tidak terbukti secara saintifik berkesan sebagai kaedah rawatan berhenti merokok. Rokok elektronik mengandungi nikotin dengan kekuatan yang tidak dapat dipastikan, di samping bahan-bahan lain seperti cecair perisa dan pelarut organik. Oleh sebab itu, penggunaan rokok elektronik sebenarnya hanyalah perubahan cara memasukkan nikotin ke dalam tubuh bagi tujuan rekreasi. Kebergantungan terhadap nikotin tidak dapat dihilangkan dengan rokok elektronik.

 

Selain belum dibuktikan berkesan, penggunaan rokok elektronik mendedahkan penggunanya kepada kesan mudarat. Sebagai contoh, cecair perisa dalam rokok elektronik berisiko merosakkan paru-paru manakala nikotin pada kekuatan yang tinggi boleh mengganggu fungsi otak. Terdapat juga beberapa kes rokok elektronik meletup ketika digunakan dan menyebabkan kecederaan.

 

Berhenti Merokok Usaha Setiap Pihak

Usaha untuk berhenti merokok perlu dimulakan segera dengan menggunakan kaedah yang betul dan berkesan. Dapatkan nasihat lanjut daripada doktor atau ahli farmasi yang berkelayakan. Ibu bapa atau ahli keluarga juga harus terus memberi sokongan kepada individu yang ingin berhenti merokok.

 

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

 

Disediakan oleh:                                                                                                                                                    Ahmad Tirmidzi bin Harun                                                                                                                                Pegawai Farmasi                                                                                                                                                 Klinik Kesihatan Pandamaran

 

 

 

JOIN US

QUESTION ON MEDICINES

MEDICINES & HEALTH ISSUES

OUR PROGRAMMES 

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Download Instagram video Instagram Downloader

Disclaimer : Pharmaceutical Services Programme, Ministry of Health Malaysia shall not
be liable for any loss or damage resulting from the use of information in this portal.

Copyright © 2008 - 2019 Know Your Medicine. All Rights Reserved


Administrative Login - Sitemap