Skip to main content


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

10 March 2019

Rambut yang cantik dan kulit kepala yang sihat merupakan idaman semua orang. Namun, kelemumur merupakan masalah yang kerap dihadapi dalam aspek penjagaan rambut. Kehadiran kelemumur akan menjejaskan penampilan serta mengurangkan keyakinan diri seseorang individu.  

Kelemumur merupakan kuping putih atau kelabu yang muncul di bahagian kulit kepala atau rambut. Ia adalah hasil daripada proses pengelupasan sel kulit mati yang berlebihan di kepala.  

Kelemumur boleh bertaburan dan berkelompok di kulit kepala atau terjatuh pada bahagian bahu. Kelemumur juga boleh menyebabkan kegatalan atau ketidakselesaan pada kulit kepala. Masalah kelemumur tidak berjangkit atau berbahaya, tetapi ia boleh menjadi tidak menyenangkan dan sukar untuk disingkirkan. 

Punca Kelemumur  

Penyebab utama kelemumur masih tidak jelas, namun penemuan menunjukkan bahawa ia mungkin disebabkan oleh sejenis yis “Malassezia”. Ia hidup di kulit kepala pada kebanyakan orang dewasa tanpa sebarang masalah. Namun, pertumbuhan yis berlebihan boleh mengakibatkan penghasilan sel kulit pada kepala yang lebih banyak.  
Bagi sesetengah individu, kelemumur boleh disebabkan oleh keadaan sensitif terhadap sesetengah jenis produk penjagaan rambut. Keadaan sensitif terhadap bahan-bahan tertentu dalam produk penjagaan rambut atau pewarna rambut boleh menyebabkan kulit kepala menjadi merah, gatal atau bersisik. 


Kelemumur juga boleh disebabkan oleh amalan penjagaan kebersihan rambut yang kurang bersih. Individu yang tidak selalu mencuci rambutnya akan menyebabkan minyak dan sel kulit di kepala berkumpul lalu meningkatkan kejadian kelemumur. 

Selain itu, cara pemakanan yang tidak seimbang, stres, kekurangan zat dan vitamin tertentu dalam badan serta masalah kulit lain seperti psoriasis dan ekzema turut juga boleh menjadi punca kejadian kelemumur.  

Rawatan Kelemumur 

Antara syampu yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah kelemumur adalah syampu yang mengandungi bahan aktif seperti Zinc Pyrithione, Selenium Sulphide, Coal Tar, bahan antikulat (contoh: Ketoconazole) dan Salicylic Acid. Bahan-bahan ini membantu mengurangkan pengelupasan kulit, melambatkan pertumbuhan sel kulit serta mengurangkan kegatalan. 

  • Zinc pyrithione: Berfungsi sebagai antibakteria dan antikulat.   
  • Selenium sulphide: Bertindak dengan mengurangkan kadar pertumbuhan lapisan sel paling atas kulit kepala. Elakkan penggunaan Selenium Sulphide ini pada kulit yang luka dan sensitif. 
  • Coal tar:  Membantu melambatkan proses sel kulit mati di kepala. Bahan ini boleh menyebabkan berlakunya penukaran warna rambut. Oleh itu, cuci rambut dengan bersih selepas menggunakan syampu ini. 
  • Bahan antikulat (Ketoconazole): Agen antikulat yang membantu mengelakkan pertumbuhan yis dan kulat yang mengakibatkan kelemumur. Ia biasanya digunakan atas nasihat doktor atau ahli farmasi. 
  • Salicylic acid: Membantu menanggalkan kelemumur, namun ia boleh menyebabkan kulit kepala menjadi lebih kering. Adalah dinasihatkan untuk memakai perapi ramput (conditioner) bagi mengelakkan masalah ini.    

 
Individu dengan masalah kelemumur dinasihatkan untuk menggunakan produkproduk tersebut mengikut arahan yang terdapat pada label produk atau mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu sebelum menggunakan.  

Pencegahan Kelemumur 

Masalah kelemumur boleh dicegah dengan mencuci rambut setiap hari bagi menghilangkan lebihan minyak di kulit kepala.  Selain itu, penggunakan syampu yang mengandungi ‘menthol’ boleh mengurangkan masalah kegatalan kulit kepala.  Amalan cara pemakanan berkhasiat dan pengurusan stres yang berkesan juga boleh membantu dalam mengekalkan kulit kepala yang sihat.  

Adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sekiranya masalah kelemumur tidak dapat dikawal atau menjadi lebih teruk. 

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian bebas tol 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang)

 

 

 

JOIN US

QUESTION ON MEDICINES

MEDICINES & HEALTH ISSUES

OUR PROGRAMMES 

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Download Instagram video Instagram Downloader

Disclaimer : Pharmaceutical Services Programme, Ministry of Health Malaysia shall not
be liable for any loss or damage resulting from the use of information in this portal.

Copyright © 2008 - 2019 Know Your Medicine. All Rights Reserved


Administrative Login - Sitemap