What is medicine?

Setiap orang boleh jatuh sakit. Ada pelbagai cara untuk berikhtiar kembali pulih semula. Antaranya adalah dengan pengambilan ubat. Adakah anda benar-benar mengenali ubat yang anda ambil? Sebenarnya, ramai dalam kalangan kita tidak pasti dengan ubat-ubatan yang diambil kerana terdapat banyak ubat-ubatan di pasaran.

Mengikut kajian peringkat nasional kali kedua yang telah dijalankan pada tahun 2012 'A National Survey on Use of Medicines' (NSUM II),  hanya separuh (56.6%) sahaja pengguna ubat di Malaysia yang tahu menggunakan ubat secara betul dan berkualiti

Mengikut definisi, ubat adalah bahan kimia yang digunakan untuk mengawal, merawat, atau mencegah penyakit. Di Malaysia, ubat-ubatan dikawal penggunaan, penjualan dan pengagihannya melalui Akta Racun 1952.

Secara umumnya ubat adalah selamat jika diambil mengikut arahan oleh doktor dan ahli farmasi. Pengambilan ubat secara berkualiti boleh menjamin keselamatan pengubatan dan rawatan yang diterima adalah berkesan. Selain itu, ia juga dapat mengelakkan kesan mudarat kepada pengguna.

Untuk makluman, semua ubat yang hendak dipasarkan dan digunakan oleh pengguna di Malaysia mesti didaftarkan dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ia bagi memastikan ubat adalah berkualiti, selamat dan berkesan untuk digunakan.

Ketulenan sesuatu ubat itu boleh dikenal pasti melalui semakan nombor pendaftaran MAL produk tersebut dan semakan label hologram MeditagTM menggunakan alat dekoder Meditag yang terdapat di kedai-kedai farmasi.

Untuk lebih memahami ketegori ubat mengikut perundangan, ubat boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu ubat am dan ubat terkawal. Ubat am adalah ubat yang boleh dibeli daripada kedai farmasi dan kedai biasa. Contohnya ubat demam (Paracetamol) dan vitamin. 

Manakala ubat terkawal pula terbahagi kepada dua iaitu ubat dengan preskripsi (slip ubat) yang boleh diperoleh hanya melalui doktor atau ahli farmasi, contohnya ubat-ubatan untuk rawatan hipertensi dan antibiotik. Seterusnya bagi ubat tanpa preskripsi pula ianya boleh diperoleh daripada ahli farmasi tanpa preskripsi seperti ubat selesema, ubat batuk dan krim untuk kegatalan pada kulit.

 

Apabila membincangkan tentang ubat, akan terus terlintas dalam fikiran ubat dalam bentuk ubat biji. Hakikatnya, ubat mempunyai pelbagai jenis bentuk dosej. Pengguna perlu mengetahui bentuk dosej setiap ubat yang diambil kerana ia berkait rapat dengan cara pengambilan/penggunaan ubat tersebut dalam mengawal kesihatan, merawat atau mencegah sesuatu penyakit

Antara bentuk dosej adalah tablet, kapsul, ubat minum (contohnya ubat batuk), ubat sapu (contohnya losyen, krim, salap, minyak urut dan syampu), ubat sedut (contohnya inhaler), ubat suntikan, ubat titisan atau salap mata, ubat titisan atau semburan hidung dan ubat sisipan (contohnya supositori, enema, pesari).

Ramai dalam kalangan pengguna di negara ini keliru berkaitan mengenalpasti nama sesuatu ubat tersebut. Nama generik adalah nama kimia atau nama bahan aktif ubat yang digunapakai di seluruh dunia. Manakala nama dagangan/jenama adalah nama yang diberi oleh syarikat pengeluar atau pengilang ubat dan ia berbeza daripada satu pengeluar ke satu pengeluar yang lain. Pengguna adalah digalakkan mengetahui nama generik ubat dan bukannya nama dagangan ubat untuk mengelakkan kekeliruan semasa ingin mengambil atau menggunakan ubat.

Bukan sahaja nama dagangan/jenama ubat akan berlainan daripada satu pengeluar ke satu pengeluar yang lain malah bentuk dan warna ubat juga akan berbeza.Justeru mengetahui nama generik atau nama bahan aktif ubat tersebut boleh mengelakkan daripada terambil salah ubat atau mengambil dua ubat yang sama tetapi berbeza warna dan nama jenama.

Tempat simpanan ubat juga penting dalam memastikan ubat berada dalam keadaan baik. Elakkan simpan ubat di dalam bilik mandi, dekat sink, di atas tingkap, atau di dalam kereta kerana suhu dan kelembapan yang tidak sesuai boleh merosakkan ubat.

Ubat juga boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak jika termakan ubat yang tidak diingini. Maka ubat perlulah disimpan dalam bekas asal, bertutup dan di simpan di dalam kabinet yang tidak boleh dicapai oleh mereka

Jika masih keliru atau ada sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi perkhidmatan Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) bertempat di Hospital Kuala Lumpur di talian 1800 88 6722. Pegawai Farmasi bertugas akan menjawab pertanyaan anda. Waktu operasi pusat panggilan ini adalah 8 pagi hingga 5 petang. Selain itu, orang awam juga boleh menyampaikan soalan berkaitan ubat di alamat email berikut pharmacy1@moh.gov.my. Kami sedia membantu anda.Setiap orang boleh jatuh sakit. Ada pelbagai cara untuk berikhtiar kembali pulih semula. Antaranya adalah dengan pengambilan ubat. Adakah anda benar-benar mengenali ubat yang anda ambil? Sebenarnya, ramai dalam kalangan kita tidak pasti dengan ubat-ubatan yang diambil kerana terdapat banyak ubat-ubatan di pasaran.