What is Gout?

Sejak kebelakangan ini kerap kelihatan dalam media sosial penjualan ubat atau suplemen kesihatan berkaitan rawatan gout. Namun sedarkah anda semua bahawa penyakit gout bukan sejenis penyakit yang boleh dirawat sendiri tanpa nasihat daripada pengamal perubatan.

 

Pelbagai janji manis dapat dilihat dalam promosi produk sedemikian. Namun ditakuti ia dicemar palsu dengan bahan terlarang atau racun berjadual apabila ubat tersebut tidak didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Melihat kepada cara mereka mengiklankan produk seperti “sakit gout yang teruk boleh hilang sekelip mata” atau “rahsia merawat gout tanpa perlu berjumpa doktor” sudah cukup mencurigakan. Untuk mengelakkan kekeliruan serta mudah tertipu dengan iklan-iklan promosi seperti ini, masyarakat perlu mengenali apakah itu penyakit gout dan jenis ubat-ubatan yang diberikan oleh pengamal perubatan untuk rawatannya.

 

Apakah itu gout? Gout merupakan penyakit radang sendi. Gout berlaku akibat asid urik berlebihan dalam tubuh yang menyebabkan pembentukan kristal di dalam sendi. Situasi seperti ini menyebabkan pesakit merasa sangat sakit dan tidak selesa atau merasakan seperti terdapat pasir di dalam sendi ketika menggerakkan anggota badan. Jika dibiarkan berpanjangan, keadaan seperti ini boleh merosakkan sendi yang terlibat.

 

Sendi yang terlibat adalah sendi kecil seperti di jari-jari tangan atau kaki, pada buku lali, lutut, perggelangan tangan dan siku. Walau bagaimanapun kerosakan sendi yang lebih teruk akibat serangan gout yang berpanjangan boleh dicegah dengan menggunakan rawatan yang sesuai.

 

Pendekatan rawatan gout adalah untuk menghilangkan rasa sakit dan mengurangkan serangan gout. Namun perlu diingat rawatan gout hanya boleh diberikan atas nasihat doktor apabila paras asid urik dalam darah adalah tinggi beserta simptom-simptom gout seperti bengkak pada sendi dan berasa sakit ketika menggerakan anggota badan.

 

Ketika serangan gout akut, doktor akan memberikan ubat untuk  mengurangkan rasa sakit dan keradangan iaitu ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs), colchicine atau glukokortikoid (kortikosteroid). Ketiga-tiga jenis ubat ini bertindak menghalang proses semulajadi dalam tubuh badan yang menyebabkan bengkak dan simptom keradangan akibat gout.

 

Contoh ubat NSAID adalah diclofenac, ibuprofen dan celecoxib. Pesakit dinasihatkan mengambil ubat ini selepas atau bersama makanan bagi mengurangkan rasa perut tidak selesa akibat kesan samping ubat jenis ini. Namun begitu jika  pesakit mengalami ulser perut, anda dinasihatkan agar tidak menggunakan ubat ini kecuali di bawah penjagaan doktor.  

 

Pengambilan NSAID secara berterusan tanpa nasihat doktor adalah tidak digalakkan. Pengambilan ubat ini pada dos tinggi dan dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan kerosakkan pada buah pinggang, hati dan permukaan dalam perut dan usus.        

 

Selain daripada NSAID, doktor akan memberikan ubat Colchicine sebagai ubat alternatif kepada individu yang tidak boleh menggunakan ubat NSAID. Kesan samping yang sering dikaitkan dengan penggunaan ubat ini ialah loya, muntah dan cirit birit. Sekiranya simptom ini berterusan dan menyebabkan ketidakselesaan, sila maklumkan kesan ini kepada  doktor yang merawat.

 

Pemilihan ubat glukokortikoid (kortikosteroid) pula akan dipertimbangkan oleh doktor kepada individu yang tidak sesuai mengambil ubat NSAID dan colchicine semasa serangan gout akut. Justeru amat penting bahawa rawatan serangan gout akut ini memerlukan nasihat doktor dan ahli farmasi dan bukan dirawat secara sendirian atau mendengar nasihat penjual produk yang tidak bertauliah.

 

Bagi menghalang serangan gout daripada berulang, paras asid urik dalam darah perlu berada pada paras normal. Oleh itu ubat Allopurinol akan diberi kepada pesakit bertujuan untuk menghalang pembentukan asid urik berlebihan dalam darah.

 

Allopurinol hanya boleh dimulakan setelah simptom bengkak dan sakit sendi akibat serangan gout akut pulih. Pengambilan ubat Allopurinol perlu diambil secara berterusan mengikut arahan doktor walaupun paras asid urik dalam darah telah kembali ke paras  normal. 

 

Ujian makmal untuk memantau paras asid urik dalam darah perlu dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun. Pemantauan ini bertujuan memastikan kandungan asid urik dalam darah berada pada paras yang normal. Walau bagaimanapun bacaan asid urik yang tinggi tanpa sebarang simptom gout tidak perlu menerima sebarang rawatan menggunakan ubat.

 

Selain daripada pengambilan ubat-ubatan, penting bagi seseorang pesakit yang telah disahkan menghidap gout untuk mengubahsuai cara hidup mereka. Tips yang disarankan adalah mengurangkan berat badan, berhenti mengambil minuman beralkohol, mengurangkan pengambilan makanan yang kaya dengan purin seperti makanan laut, ikan bilis, kacang, kobis, tomato dan mengawal penyakit seperti tekanan darah tinggi dan paras kolesterol dalam darah.

 

Perkara penting yang perlu diingat untuk mengelak daripada serangan gout dan komplikasinya :

Patuhi arahan pengambilan ubat yang diberi oleh doktor atau ahli farmasi.

  • ELAKKAN pengambilan ubat tanpa nasihat atau rujukan doktor terutamanya ubat tahan sakit dan ubat-ubat yang dijual di internet dan media sosial.
  • Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya anda mengambil ubat yang lain kerana ubat rawatan gout mempunyai interaksi dengan sesetengah ubat lain.

 

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) di talian 1800 88 6722.