Are You Sure Traditional Products In The Market Really Safe?

Dewasa ini, penggunaan produk tradisonal sebagai alternatif kepada ubat-ubatan moden semakin menjadi pilihan. Ini kerana produk  tradisional dikatakan lebih selamat, kurang atau tiada kesan-kesan sampingan dan boleh membantu proses pemulihan secara semulajadi. Produk tradisional  sering digunakan untuk mengubati penyakit sendi, selsema, batuk, untuk kesihatan lelaki dan juga untuk menurunkan berat badan.

Produk-produk yang diklasifikasikan sebagai produk  tradisional ialah produk kesihatan yang  tidak mengandungi atau hanya mengandungi racun berjadual dalam kuantiti yang kecil (diperoleh secara semulajadi daripada tumbuh-tumbuhan).  Kuantiti racun berjadual yang dibenarkan dalam produk tradisional haruslah berada di dalam julat had yang telah ditetapkan oleh pihak regulatori, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan. Produk-produk tradisional ini, selain mengandungi sumber tumbuh-tumbuhan, ia juga mengandungi sumber mineral dan haiwan.

Walaubagaimanapun, adakah pengguna pasti produk-produk tradisional yang berada di pasaran hanya mengandungi racun berjadual dalam julat had yang ditetapkan atau tidak langsung mengandungi racun berjadual? Adakah para pengguna sedar akan isu campurpalsu di dalam produk tradisional?Adakah memadai sekadar membaca label dan iklan produk-produk tersebut?

Campurpalsu produk tradisional berlaku di mana produk-produk  ini dicampurkan dengan racun berjadual untuk memberi kesan segera kepada pengguna. Kesan segera ini akan menarik minat pengguna dan seterusnya melariskan produk-produk tersebut dalam jangka masa yang singkat.

Pengeluar produk yang dicampurpalsu ini seringkali mengaburi mata pengguna dengan iklan-iklan yang menarik, disertakan dengan testimoni-testimoni pengguna. Selain itu,ayat tarikan atau tagline yang menunjukkan penggunaan produk tersebut boleh memberi kesan cepat tanpa kesan sampingan juga acapkali digunakan.

Produk tradisional ini biasanya dipasarkan melalui jualan langsung, internet, kedai menjual produk kesihatan dan juga kaki lima. Modus operandi yang paling popular sudah pastilah melalui laman-laman sosial seperti Facebook dan Instagram.

Penggunaan produk tradisional yang dicemari racun berjadual ini boleh menyebabkan kesan advers yang serius. Kuantiti racun berjadual yang dicampurkan tidak dikawal.Tiada sebarang ujian makmal dijalankan oleh pengeluar untuk memastikan produk tradisional yang dicemari racun ini selamat dan berkualiti.

Sebagai contoh, produk tradisional tidak berdaftar  bernama Figure Up yang dilabelkan sebagai selamat dan 100% semulajadi telah dikesan mengandungi racun berjadual Sibutramine. Kesan penggunaan ubat ini telah menyebabkan kesan advers serius kepada pengguna. Antaranya, dua pengguna mengalami sawan dan pendarahan ulser duodenal.

Salah satu kes terkini yang boleh juga boleh dijadikan contoh ialah produk tradisional bernama Maajun Dua Istimewa.  Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah menerima sebanyak dua puluh empat (24) laporan kesan advers yang melibatkan produk ini. Kesan-kesan advers yang dilaporkan ialah peningkatan berat badan, peningkatan enzim hati yang mengakibatkan beberapa penyakit berkaitan hati, kegagalan fungsi buah pinggang secara akut, ‘Cushing’s Syndrome’, muka membengkak, kegatalan dan kesan alergi, peningkatan kadar kolesterol dalam darah, sakit kepala, sakit perut, najis berdarah, muntah, sakit dada, tulang rapuh, sesak nafas, jangkitan kuman dan gangguan perjalanan darah pesakit. Hasil ujian yang telah dilakukan oleh BPFK mendapati produk ini mengandungi dexamethasone iaitu sejenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.

Maklumat lanjut mengenai produk –produk tradisional yang dicampurpalsu boleh diperoleh melalui laman sesawang  www. pharmacy .gov.my dan portal.bpfk.gov.my. Senarai produk-produk yang dipaparkan meliputi produk tradisional yang berdaftar dan tidak berdaftar yang telah dikesan mengandungi bahan campur palsu yang tidak dibenarkan dan boleh membahayakan kesihatan pengguna.

Bagi memberi kesan penggunaan yang optimum dan pelbagai  kepada pengguna, ada antara produk-produk tradisional ini dicampurpalsu dengan lebih daripada satu jenis racun berjadual. Antara kombinasi racun berjadual yang popular ialah Chlorpheniramine dan Dexamethasone,  Paracetamol dan Phenylbutazone. Kombinasi racun berjadual ini boleh mencecah 4 jenis racun berjadual berlainan di dalam satu produk.

Kesemua produk tradisional  yang dijual di pasaran Malaysia haruslah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Produk berdaftar harus mempunyai nombor pendaftaran MAL dan hologram. Selain itu, pengguna juga boleh melayari pangkalan data BPFK untuk mencari senarai produk tradisional berdaftar.

Bagi mengelakkan penggunaan produk tradisional yang dicemari bahan campurpalsu, pengguna haruslah bijak memilih  produk yang hendak dibeli. Elakkan diri daripada terpengaruh dengan  agenda penjual produk-produk terlarang ini.  Beratus-ratus testimoni keberkesanan produk tidak sama sekali menggambarkan bahawa produk tersebut adalah selamat  dan berkualiti.

Pilihlah produk tradisional yang berdaftar yang terjamin kualitinya. Pengguna juga boleh  merujuk kepada pegawai  professional kesihatan  seperti doktor atau pegawai farmasi sebelum mengambil mana-mana produk tradisional.Tanggungjawab bagi membasmi masalah campurpalsu ini bukan sahaja terletak pada pihak berwajib tetapi juga pada pengguna, pemegang pendaftaran produk dan pengilang.

Jika masih keliru atau ada sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi perkhidmatan Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) bertempat di Hospital Kuala Lumpur di talian 1800 88 6722. Pegawai Farmasi bertugas akan menjawab pertanyaan anda. Waktu operasi pusat panggilan ini adalah 8 pagi hingga 5 petang. Selain itu, orang awam juga boleh menyampaikan soalan berkaitan ubat di menggunakan sistem iSPAAA KKM (http://moh.spab.gov.my/) yang merupakan saluran dalam talian untuk menguruskan maklum balas (aduan/cadangan/pertanyaan/permohonan) daripada orang awam berkenaan perkhidmatan KKM. Kami sedia membantu anda